MELAKA: Seorang ejen takaful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap bekas isterinya sejak Jun lalu.
Tertuduh, Muhamad Akmal Helmi Mat Sirat, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Haderiah Siri.
Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat hantaran komunikasi jelik menggunakan aplikasi Facebook melalui profil Akmal Helmi dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu Masura Mustafa, 40.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Bukit Piatu Mutiara dalam daerah Melaka Tengah pada 30 Jun, 3 dan 4 Julai 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Tertuduh yang diwakili peguam, Haziq Aizuddin Subhi merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mampu membayar jumlah dicadangkan pendakwaan selain mendakwa telah hilang pekerjaan sejak dimasukkan ke lokap.
Haderiah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 507(A) Kanun Keseksaan kerana secara berulang kali mengikuti dan menjejaki serta menakutkan bekas isterinya sehingga menyebabkan kerisauan.
Perbuatan itu dilakukan semasa di Hospital Putra Melaka dan di sebuah kedai perabot dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Julai dan 23 Julai 2025.
Lelaki itu juga didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui pautan Facebook terhadap wanita tersebut yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasinya di Taman Bukit Piatu Mutiara pada 4 Julai 2025.
Mahkamah membenarkan tertuduh diiikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN










