eHATI: JAIS panggil dua saksi baharu esok  - Utusan Malaysia

eHATI: JAIS panggil dua saksi baharu esok 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemui wartawan di Majlis pra pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-65 tahun di WTC, Kuala Lumpur hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil dua saksi esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran doktrin palsu di negeri itu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kedua-dua saksi terbabit akan dipanggil oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS susulan aduan yang diterima. 

Menurutnya, kesalahan itu di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Siasatan telah pun dimulakan oleh pihak JAIS dan mengharapkan kedua-dua saksi dapat hadir esok bagi membantu siasatan. 

“Ini penting agar tiada pihak yang teraniaya,” katanya kepada pemberita elepas merasmikan Majlis Prapelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)  hari ini.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan pengguna media sosial mengenai program yang dianjurkan pasangan suami isteri dengan mendakwa berlakunya tarian bogel di dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor itu.

Peserta program itu juga didakwa diberi minum sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.

Selain itu, peserta turut diarahkan melakukan upacara ‘mandi suci’ dan ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan lain

Mohd. Naim sementara itu berkata, kerjasama semua pihak amat penting supaya siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil.

“Saya juga dimaklumkan JAIS bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneliti kemungkinan terdapat unsur kesalahan di bawah Kanun Keseksaan atau undang-undang sivil,” katanya. 

Beliau turut menegaskan kepentingan untuk semua pihak yang mempunyai maklumat tampil ke hadapan demi memastikan kebenaran dapat dizahirkan dan tindakan sewajarnya diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN