SHAH ALAM: Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan semula 81 rumah musnah serta 138 yang rosak akibat terkesan dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berada pada tahap 22 hingga 24 peratus.
Proses tersebut dijangka siap pada Oktober ini bagi perumahan di Kampung Kuala Sungai Baru, sementara di Taman Putra Harmoni, Putra Heights pula diberikan tempoh sehingga 24 bulan iaitu sehingga Jun 2027.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan kerja-kerja tersebut menggunakan peruntukan sebanyak RM40 juta yang diluluskan oleh Kabinet sebelum ini dan tambahan RM6 juta bagi pembaikan infrastruktur awam.
Menurutnya, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menguruskan pembaikan dan pembinaan rumah di Kampung Kuala Sungai Baharu.
Sementara di Taman Putra Harmoni, Jemaah Menteri memutuskan Sime Darby Properties sebagai pemaju asal diberi tanggungjawab untuk membaiki dan membina semula rumah-rumah di kawasan berkenaan.
“Kesemua kerja-kerja itu diberikan ruang untuk berjalan sejak 1 Mei lalu.
“Status pembinaan semula di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, sebanyak tiga unit akan dibina semula, manakala 46 unit akan dibaiki dan baki 45 unit lagi sedang dalam proses akhir ujian titik retak dan struktur,” katanya pada sesi penerangan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, insiden letupan pada 1 April lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Amirudin berkata, penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan juga diberikan ruang sehingga 27 Oktober ini bagi menyampaikan dokumen tuntutan melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang dilantik bagi memudah cara proses tersebut.
“Bagi Taman Putra Harmoni, sebanyak RM458,440.50 diterima penduduk manakala penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru pula memfailkan tuntutan sebanyak RM884,934.
“Selain itu, kita berada dalam proses akhir untuk menetapkan penduduk yang belum menduduki rumah masing-masing supaya diberikan wang sewa tambahan dan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin memberitahu kerajaan negeri menyediakan bantuan sehingga RM2,000 bagi menampung kos sewa rumah bagi setiap penduduk yang terpaksa berpindah di kediaman lain sementara kerja pembaikan dan pembinaan semula selesai. – UTUSAN