TAPAH: Dua lelaki warga China maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang menukar lorong secara tiba-tiba di Kilometer 316.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 10.30 malam
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang berada di lorong kanan cuba mengelak sebuah lori yang menukar laluan di depan sebelum hilang kawalan.
“Kemalangan turut menyebabkan pemandu kereta seorang rakyat tempatan mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.53 malam.
“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa.
“Seorang mangsa lelaki yang merupakan pemandu kenderaan (warga tempatan) mengalami kecederaan dibahagian tangan telah mendapat rawatan di fasiliti perubatan terdekat,” katanya. – UTUSAN