ISTANBUL, Turkiye: Malaysia meletakkan keyakinan menganjurkan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) secara lebih bermakna bagi edisi 2026 yang dijangka diadakan pada April tahun hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keyakinan itu diterjemahkan menerusi sambutan baik diterima menerusi penganjuran DSA dan penyertaan pemain industri dalam pameran berkenaan.
“Saya yakin kita akan menganjurkan DSA yang lebih bermakna pada tahun hadapan lebih-lebih lagi ia merupakan platform untuk meninjau kemajuan teknologi dalam sektor pertahanan serta ketenteraan.
“Jadi, saya mengharapkan agar penganjuran DSA pada tahun hadapan dapat mengetengahkan syarikat Malaysia yang sudah mula bertapak secara aktif dalam industri pertahanan negara,” katanya,
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, syarikat tempatan juga disaran agar tidak menjadi wakil kepada syarikat luar negara dalam sektor pertahanan pada DSA tahun hadapan.
“Pada tahun hadapan kita harap syarikat yang menyertai DSA dari Malaysia merupakan syarikat aktif bergerak dalam industri pertahanan.
“Ia (perlu dibuat) sama ada secara kolaborasi dan bukannya secara wakil kepada mana-mana syarikat luar negara,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled melawat beberapa reruai syarikat industri pertahanan yang mempamerkan aset masing-masing sempena IDEF 2025.
Semasa lawatan itu, beliau menyaksikan pertukaran dokumen persetujuan syarikat-syarikat Turkiye yang akan menyertai DSA dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026. – UTUSAN