Doakan saya - Dayang kunci mulut tarikh istimewa akhiri zaman solo - Utusan Malaysia

Doakan saya – Dayang kunci mulut tarikh istimewa akhiri zaman solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, masih bermain tarik tali perihal status hubungannya dengan seorang jejaka yang dikatakan sudah mempunyai tarikh istimewa berumah tangga.

Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, memilih mengunci mulut dan hanya berharap peminat mendoakan yang terbaik untuk kehidupan peribadinya.

“Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai kebenaran bakal mengakhiri zaman solo tidak lama lagi.

Desas-desus itu timbul apabila terdapat dakwaan di media sosial mengaitkannya dengan komposer dan penyanyi, Hael Husaini, yang dikatakan sudah mengikat tali pertunangan.

Bagaimanapun, perkara itu pernah disangkal penyanyi Jampi tersebut sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Dayang bakal hadir dengan persembahan eksklusif Janji With Dayang yang bakal berlangsung di Pulau Pinang dan Menara Kuala Lumpur pada 23 Ogos dan 27 September depan.

“Dua hari persembahan eksklusif saya nanti memang istimewa buat saya, untuk album Janji saya sebab sudah lama saya menantikan persembahan ini. Saya memang mengimpikan untuk membuat persembahan ini.

“Sebab saya pun sudah lama tak keluar album pop, terakhir adalah pada 2017. Jadi persembahan ini sangat eksklusif,” katanya.

Dayang ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media persembahan Janji With Dayang, di W Hotel, pada Isnin.

Mengakui tiada persembahan duet bersama rakan artis, Dayang bagaimanapun akan memberi laluan kepada bakat baru, Anwar Amzah dan Naki untuk berkongsi pentas.

Namun begitu, Dayang terus berteka teki ketika ditanya adakah Hael akan turut hadir di persembahannya itu.

“Orang bermakna yang akan hadir adalah peminat saya, tak bersama di pentas tapi di bawah pentas bersama dengan saya sebab mereka adalah pembakar semangat saya.

“Persembahan ini saya fokus untuk album Janji, jadi saya boleh cakap tiada kejutan atau gimik. Yang ada hanyalah artis yang turut diundang membuat persembahan nanti.

“Rakan-rakan artis yang datang nanti semuanya istimewa bagi Dayang. Komposer pun kita jemput datang, tapi ada yang datang, ada yang tak dapat datang sebab mereka orang penting untuk album Janji,” katanya.

Terdahulu pada November 2024, Dayang menerbitkan album Janji sempena perjalanan 25 tahunnya sebagai penyanyi. -UTUSAN

ni

-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN