BUTTERWORTH : Berpantang maut sebelum ajal. Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila ditembak ketika sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, petang tadi.
Kejadian itu dikatakan berlaku di hadapan sebuah sekolah rendah di Sungai Nyior di sini.
Difahamkan, suspek yang terdiri daripada dua lelaki sebelum itu telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh mangsa.
Bagaimanapun, mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman mengesahkan kejadian dan memaklumkan, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kes itu selepas ini.-UTUSAN