KOTA BHARU: Kira-kira 343 individu mengalami keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada gulai ayam.
Kesemua individu terlibat itu terdiri daripada penuntut baharu ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan orientasi sebuah kolej di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu 134 kes dikesan mengalami masalah tersebut semasa mereka datang untuk rawatan atau Passive Case Detection (PCD).
“209 kes pula dikesan oleh anggota kesihatan atau Active Case Detection (ACD). Gejala utama yang dialami individu terlibat termasuk sakit perut, cirit birit, pening, loya, muntah dan demam.
“Makanan yang disyaki adalah gulai ayam yang dinikmati semasa makan malam semalam yang disyaki disediakan oleh katering luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.
Dr. Zaini memberitahu, organisma yang disyaki adalah salmonella spp. Wabak diisytiharkan hari ini.-UTUSAN