KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang membolehkan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memantau pelaksanaan perlindungan kepada individu yang tampil membuat pendedahan berkenaan salah laku.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran selepas dibahaskan oleh 24 Ahli Parlimen.
Ketika sesi penggulungan bagi bacaan kali kedua, Kulasegaran berkata, jawatankuasa tersebut hanya akan berfungsi buat sementara waktu sehingga penubuhan rasmi Ombudsman Malaysia yang akan mengambil alih peranan dan fungsi jawatankuasa tersebut dengan bidang kuasa lebih luas.
“Penubuhan jawatankuasa ini merupakan langkah proaktif kerajaan sebagai platform pusat bagi memantau pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat tanpa mendedahkan identiti mereka.
“Buat masa ini tiada mekanisme pemantauan terhadap agensi penguatkuasa sekiranya berlaku isu atau masalah berkaitan pemberi maklumat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan tidak mempunyai kuasa penyiasatan atau penerimaan aduan tetapi berfungsi secara pentadbiran dan kawal selia untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan Akta 711.
Katanya, agensi penguat kuasa masih kekal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siasatan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Pada masa sama, beliau menyambut baik cadangan supaya anggota jawatankuasa tersebut bebas daripada sebarang konflik kepentingan dan dilantik dalam kalangan individu berkelayakan seperti wakil pertubuhan bukan kerajaan dan pakar akademik.
Bagaimanapun, tiada cadangan pindaan dibuat ketika ini bagi membolehkan perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat secara terbuka kepada umum atau media.
“Namun begitu, kita sedang meneliti kemungkinan memperluaskan saluran pelaporan, termasuk memberi kebenaran pendedahan kepada pihak lain selain agensi penguat kuasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kulasegaran berkata, seramai 621 pemberi maklumat telah diberikan perlindungan di bawah Seksyen 7 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Selain itu, seramai 262 orang lagi sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Program Perlindungan Saksi. – UTUSAN










