KUALA LUMPUR: ASEAN dan gabungan negara Asia Timur telah bersetuju melaksanakan beberapa deklarasi untuk diluluskan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, deklarasi tersebut dikira sebagai bukti kebersamaan dan kesepakatan dalam menghadapi cabaran global ketika ini.
“Seperti kenyataan Perdana Menteri, ada menyebut semasa perasmian tempoh hari, kita tak mahu buat kenyataan selepas kenyataan, tetapi tidak ada yang konkrit untuk kita lakukan.
“Kita lakukan agar gabungan negara-negara East Asia ini dapat diperkasakan, dapat diterjemahkan, dan dapat digunakan sebagai platform yang lebih meluas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), di sini, hari ini.
Mohamad dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak EAS sebelum ini menegaskan negara-negara Asia Timur untuk terus memperkukuh komitmen kolektif dalam mempertahankan keamanan, kestabilan dan kemakmuran global yang semakin terancam berikutan pelbagai krisis ketika ini.
Katanya, dalam hal ini, EAS perlu kekal sebagai platform penting dalam menyatukan kuasa-kuasa serantau serta global bagi menangani cabaran bersama. – UTUSAN










