PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita pelbagai peralatan perniagaan yang diletakkan secara haram di pesiar kaki lima sekitar Jalan Sultan, di sini, semalam.
Tindakan itu susulan aduan awam berhubung kegiatan peniaga yang meletakkan kerusi, meja dan pelbagai kelengkapan lain di laluan awam tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Menurut kenyataan, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan laluan awam tidak disalah guna serta kekal selamat dan selesa untuk kegunaan orang ramai.
“Sebanyak enam kes sitaan direkodkan sepanjang operasi dijalankan, selain tujuh notis kompaun turut dikeluarkan ke atas individu yang didapati melanggar peraturan.
“Antara barangan yang disita termasuk meja dan kerusi plastik serta peralatan lain yang menghalang laluan orang awam. Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN










