'Dari dulu pun, saya tidak suka berpakaian seksi' - Utusan Malaysia

‘Dari dulu pun, saya tidak suka berpakaian seksi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI usia 47 tahun, pengacara dan pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim terdetik mahu mengenakan hijab seperti rakan selebriti lain. Namun begitu, Sarimah enggan keputusannya itu hanya sekadar mengubah imej luaran tanpa memperbaiki sikap serta peribadinya sebagai seorang wanita.

Mengakui hasratnya itu terlalu peribadi untuk diceritakan secara terperinci, wanita berdarah kacukan Melayu-Irish itu mula memikirkan makna kecantikan dengan memberi definisi berbeza berbanding ketika usianya masih belia.

“Bertudung memang sudah menjadi hasrat saya namun ia sesuatu yang sangat peribadi. Memang rasa terdetik itu sudah ada, ia hadir mungkin kerana faktor kematangan usia.

“Saya memikirkan juga apa maksud cantik? Apa yang lebih penting dalam hidup? Bukan hanya tentang mahu pakai tudung sahaja tapi kena pastikan ia seiring dengan perubahan dalaman.

“Saya tidak mahu bila sudah ambil langkah ke hadapan, kita undur semula ke belakang beberapa langkah. Semua orang ada perjalanan masing-masing, cuma bila kita buat sesuatu, buatlah betul-betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Sarimah lagi, sejak awal-awal bekerja lagi dia sebenarnya sudah menjaga batas dalam berpakaian. Semasa program Akademi Fantasia mencipta fenomena, Sarimah merupakan salah seorang pengacara bersama Datuk AC Mizal dan Jimmy Shanley untuk siaran musim ketujuh.

Kongsi Sarimah, ketika itu pun dia sudah terbiasa memakai ‘inner’ ketika menyarungkan mana-mana busana yang dianggap terlalu mencolok mata.

“Sebelum saya berkahwin, saya memang tidak suka berpakaian terdedah. Saya rajin pakai inner macam zaman buat Akademi Fantasia dulu. Bukan jiwa saya ke arah seksi, mungkin saya lebih ikut darah wanita Johor.

“Bila kena pakai seksi saya jadi tak selesa. Cuma belum bertudung sahaja. Cara berpakaian ini bukan permintaan suami ya, semuanya kerelaan sendiri,” ceritanya.

Diminta mengulas apabila terdapat segelintir warganet yang menyenaraikan namanya sebagai antara selebriti wanita elegan Malaysia, penyanyi Kini Kau Tiada itu berterima kasih kerana ada yang memberi tanggapan begitu kepada dirinya.

“Mungkin elegan itu terletak kepada bagaimana seseorang itu menjaga reputasi dan maruah. Kalau ada yang fikir saya elegan, Alhamdulillah.

“Tapi saya sendiri masih mempunyai banyak perkara yang mahu diperbaiki dalam diri. Ada lagi yang saya nak betulkan tapi biarlah seinci demi seinci.

“Saya memang mengelak sebarang konflik atau kontroversi kerana apa yang kita kongsikan hari ini mungkin berlainan dengan diri kita di masa hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN