DAP tidak pernah ubah pendirian mengenai kematian Beng Hock

DAP tidak pernah ubah pendirian mengenai kematian Beng Hock

ANTHONY Loke (tengah) bersama Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han (kiri) dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching ketika sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: DAP kekal memperjuangkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock yang meninggal dunia selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian DAP kekal sama seperti ketika menjadi pembangkang walaupun sudah berada di dalam kerajaan pada ketika ini. 

Menurut beliau, DAP tidak pernah berganjak dalam komitmennya untuk mencari kebenaran dalam kes Beng Hock berlandaskan prinsip undang-undang sepanjang 16 tahun lalu. 

“Pada bila-bila masa atau sekiranya muncul bukti baharu yang penting, DAP menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memberikan sokongan undang-undang sepenuhnya.

“Memandangkan siasatan masih belum lengkap dan keputusan dicapai masih belum memenuhi harapan keluarga Beng Hock, DAP dengan rendah hati mengucapkan takziah dan penghormatan kepada keluarga beliau atas kehilangan yang tidak terubat ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membuat  permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi berkenaan yang berlaku pada 2009. 

Azam berkata, SPRM bersedia memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan. 

Permohonan maaf itu dikemukakan pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun, keluarga mendiang menolak permohonan maaf tersebut kerana disifatkan tiada keikhlasan dalam membawa Kkeadilan terhadap Beng Hock. 

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.

Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.

Pada Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA), selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan dikemukakan polis..

Anthony Loke sementara itu berkata, sokongan dan pampasan diberikan kerajaan kepada keluarga Beng Hock tidak bersyarat. 

Jelasnya, keluarga mendiang kekal bebas untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk menuntut keadilan.

“Keluarga Beng Hock kekal bebas menyuarakan pandangan, termasuk meneruskan usaha menuntut keadilan bagi Beng Hock melalui apa juga bentuk advokasi awam,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Azam, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, permohonan maaf tersebut merupakan kali pertama dilakukan oleh SPRM sekali gus mencerminkan keikhlasan kerajaan.

“Tindakan ini juga memperlihatkan keadilan peralihan, apabila institusi negara mengakui dan merenung kembali kemudaratan yang berlaku pada masa lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN