Teo Nie Ching kesal gagal iktiraf UEC ketika jadi Timbalan Menteri

Teo Nie Ching kesal gagal iktiraf UEC ketika jadi Timbalan Menteri

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teo Nie Ching mengakui penyesalan kerana gagal untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sepanjang menjadi Timbalan Menteri Pendidikan dari 2018 hingga 2020.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, walaupun pengiktirafan UEC telah lama menjadi sebahagian daripada pendiriannya dan komitmen politiknya namun pelaksanaannya tidak dapat direalisasikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) disebabkan kekangan di luar kawalannya.

“Saya sentiasa berterus terang tentang status saya sebagai pemegang UEC. Saya tidak pernah menyembunyikannya dalam kehidupan awam saya dan tidak pernah berganjak daripada pendirian bahawa pengiktirafan UEC adalah baik untuk Malaysia.

“Kegagalan untuk melaksanakan pengiktirafan UEC semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pendidikan memang merupakan satu penyesalan,” katanya dalam kenyataan.

Nie Ching berkata, pendiriannya terhadap pengiktirafan UEC tidak pernah berubah sejak awal, malah beliau percaya langkah tersebut tidak akan menjejaskan identiti nasional.

“Ia tidak akan mencemarkan identiti nasional kita. Sebaliknya, ia akan mengukuhkan ekosistem pendidikan kita, menyokong pembangunan bakat dan mencerminkan komitmen yang dibuat dalam pelbagai manifesto dari Pakatan Rakyat hingga PH dan bahkan Barisan Nasional,” katanya.

Mengulas janji pengiktirafan UEC dalam tempoh setahun yang pernah disebut sebelum ini, beliau berkata, dirinya tidak pernah mengelak daripada mengakui kegagalan tersebut dan pernah memohon maaf kepada penyokongnya pada tahun 2020.

Dalam masa sama, beliau turut menolak dakwaan kononnya beliau bercakap berbeza kepada komuniti berbeza atau seorang provokator dalam isu UEC sebaliknya konsisten mengiktiraf UEC dan tidak mengubah prinsip itu untuk disesuaikan dengan keadaan.

Oleh itu, katanya, sebarang dakwaan bahawa beliau tidak berminat untuk mencari penyelesaian bagi UEC adalah tidak berasas.

“Izinkan saya jelaskan satu perkara lagi, saya tidak berasa kesal kerana tegas mengenai pengiktirafan UEC. Saya percaya ia adalah arah dasar yang betul untuk Malaysia dan saya berdiri dengan keyakinan itu.

“Komitmen saya tetap tidak berubah, Malaysia lebih kuat apabila kita mengiktiraf dan menghargai semua aliran pendidikan yang menyumbang kepada asas (fabric) nasional kita.

“Dalam masa sama, perbincangan mengenai pengiktirafan UEC mesti berlandaskan fakta bukan insinuasi (sindiran atau tanggapan negatif),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×