PETALING JAYA: Meskipun anak sulung belum mencecah usia setahun, pendakwah bebas, Dai Syed memberi bayangan dirinya dan isteri, Hana Ismail bakal menimang cahaya mata kedua.
Biarpun tidak memaklumkan perkara itu secara terbuka, Syed atau Syed Iqmal Syed Mohd Shaiful tampil memuat naik foto keluarganya yang menampakkan susuk tubuh isterinya seperti sedang berbadan dua.
“Doakan keluarga kecil kami,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Bagaimanapun pendakwah bebas itu tidak memaklumkan butiran terperinci mengenai usia kandungan isterinya kini.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah dihujani pelbagai reaksi dari pengikutnya yang turut berkongsi rasa syukur dan mendoakan agar kandungan isterinya sihat.
“MashaAllah, tahniah kalian. Jaga kesihatan Hana,” komen seorang pengguna media sosial.
“MashaAllah, Tabarakallah. Alhamdulillah, tahniah Syed dan Hana. Semoga keluarga kecil kamu sentiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT,” kata seorang netizen.
“Tahniah Hana! Jaga diri elok-elok. Semoga kandungan selamat sampai bersalin dan dijauhkan dari pandangan ain,” kata peminatnya.
Dai dan Hana mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022 dan memiliki seorang cahaya mata perempuan, Sharifah Fatma Nour Jamalullail.-UTUSAN