PETALING JAYA: Jumlah kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat menunjukkan penurunan apabila hanya satu lokasi direkodkan berbanding semalam.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya kawasan Cheras, Kuala Lumpur yang masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dengan bacaan 113 setakat pukul 11.30 pagi tadi.
Sebanyak 65 kawasan lain merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu antara 51 hingga 100 manakala dua kawasan mencatatkan bacaan tahap baik dengan IPU bawah 50.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak empat lokasi di tiga buah negeri mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi di Negeri Sembilan iaitu Nilai (153) dan Seremban (152), Johan Setia, Selangor (152), diikuti Kuantan, Pahang (132).
Bagaimanapun, trend terkini menunjukkan penurunan apabila hanya satu lokasi direkodkan mencatat bacaan tidak sihat pagi ini.
Dua lokasi merekodkan kualiti udara berada pada keadaan yang baik iaitu di Langkawi, Kedah dengan bacaan 32 dan Kangar, Perlis dengan bacaan 31. – UTUSAN