CGM, Palimar bekerjasama bangunkan semula Gaza

CGM, Palimar bekerjasama bangunkan semula Gaza

MUHAMMAD Nadir Al-Nuri Kamaruzaman (dua dari kanan) dan wakil Palimer, Issa Mkiki (dua dari kiri) pada majlis menandatangi memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pembangunan Gaza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha pembangunan semula Gaza mendapat suntikan baharu menerusi kerjasama antara Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan The Arab and International Organisation to Construct in Palestine (Palimar).

Kerjasama strategik itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyaksikan CGM menjadi badan bukan kerajaan (NGO) pertama dari Asia Tenggara menyalurkan dana secara rasmi kepada Palimar bagi projek pembangunan semula Gaza.

Menerusi MoU tersebut, CGM memperuntukkan RM2.2 juta sebagai komitmen awal untuk melaksanakan fasa pertama pembangunan semula wilayah yang telah lama terkesan akibat konflik kemanusiaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kerjasama itu menandakan satu anjakan baharu dalam pendekatan bantuan kemanusiaan oleh NGO Malaysia yang kini lebih terancang dan bersifat jangka panjang.

Katanya, dana tersebut akan digunakan bagi membina penempatan semula untuk pelarian, sistem bekalan air bersih, pembaikan jalan, serta pemulihan pusat kesihatan dan infrastruktur asas di Gaza.

“Ini merupakan detik penting bukan sahaja buat CGM, tetapi buat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

“Kita bukan sekadar menyampaikan bantuan segera, sebaliknya membantu membina semula masa depan Gaza secara mampan bersama rakan antarabangsa yang berpengalaman seperti Palimar,” katanya dalam kenyataan.

Palimar yang berpengkalan di Amman, Jordan merupakan antara NGO antarabangsa paling berpengaruh dalam sektor pembangunan semula kawasan bergolak termasuk Gaza dengan lebih dua dekad pengalaman di lapangan.

Sementara itu, wakil Palimar, Issa Mkiki menyifatkan kerjasama ini sebagai bukti solidariti global terhadap nasib rakyat Gaza yang semakin mendapat perhatian komuniti antarabangsa.

“Penyertaan CGM dari Malaysia membawa sinar baharu dalam misi kemanusiaan kami. Ia membuktikan sokongan terhadap Gaza datang dari seluruh pelosok dunia,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN