Canselor Jerman puji Anwar selesaikan konflik Thailand-Kemboja

Canselor Jerman puji Anwar selesaikan konflik Thailand-Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Canselor Jerman, Friedrich Merz memuji peranan aktif Malaysia sebagai pemudah cara dalam usaha penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja.

Perkara itu dikongsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menerima panggilan telefon daripada Merz, petang semalam.

Anwar berkata, ia merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan diplomasi serantau dan komitmen Malaysia dalam mendukung keamanan dan kestabilan ASEAN.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan serantau melalui pendekatan diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Jerman yang kian kukuh serta menyatakan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

“Kerjasama erat dengan rakan antarabangsa seperti Jerman amat penting dalam memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.

Semalam, Thailand dan Kemboja men­capai kata sepakat untuk berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.

Gencatan senjata tersebut menandakan satu langkah penting ke arah kestabilan serantau selepas ketegangan antara Kemboja dan Thailand meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Putrajaya menjadi saksi kepada detik bersejarah itu apabila Anwar mengumumkannya menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN