JEMPOL: Polis menjumpai sebatang cangkul yang digunakan suspek untuk menggali lubang sebelum menanam mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan di Rompin, Jempol di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Norhisham Mustapar berkata, cangkul itu ditemukan ketika siasatan awal dilakukan polis di lokasi.
“Pihak polis ketika ini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat kanak-kanak tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kira-kira pukul 4.30 petang semalam pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat berkenaan penemuan mayat kanak-kanak di kawasan Rompin.
Menurutnya kejadian awal berlaku di Johor Bahru di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, pada 24 julai lalu.
Katanya, tangkapan telah dibuat oleh pihak polis Kontinjen Johor ke atas suspek iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.
Katanya, tindakan susulan telah membawa kepada penemuan mayat mangsa ditanam di kawasan Rompin, Jempol disyaki dibunuh.-UTUSAN









