Busana Melayu Inteam curi tumpuan di Algeria - Utusan Malaysia

Busana Melayu Inteam curi tumpuan di Algeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penampilan Inteam yang berbusana Melayu antara yang menjadi tarikan sewaktu kumpulan itu membuat persembahan sempena Festival Nasyid Antarabangsa di Algeria baru-baru ini.

Ahlinya, Muhammad Hazamin Harun memaklumkan penonton tertanya-tanya mengenai pakaian tradisional yang digayakan Inteam sewaktu persembahan mereka di festival tersebut.

“Ramai yang tertarik dan bertanya tentang pakaian kami selepas persembahan.

“Kami memang berniat untuk memperkenalkan budaya Malaysia dan disebabkan itulah kami mengenakan busana Melayu.

“Ini peluang dakwah dan diplomasi budaya yang sangat indah,” katanya.

Inteam diberi penghormatan mewakili negara dalam acara berprestij itu menerusi undangan rasmi Kementerian Kebudayaan dan Ketua Pemerintah Wilayah Constantine.

Turut menyerikan persembahan adalah Johan Qari Antarabangsa 2024, Ustaz Husaini Mahmur yang menggantikan salah seorang ahli Inteam, Hisyam Ahmad yang tidak turut serta atas komitmen kerja.

Sementara itu, Mohd. syahril Abdul Khalid atau Syah Inteam berkongsi rasa gembira atas sambutan memberangsangkan penonton pada festival berkenaan.

“Kami terharu dan bersyukur. Ini kali pertama kami menjejakkan kaki ke Algeria.

“Sambutan mereka luar biasa. Nasyid menjadi jambatan yang menyatukan kami dengan penonton yang berbeza latar belakang, budaya dan bahasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Inteam juga menganggap peluang berduet dengan salah seorang penggiat nasyid disegani, Sayed Arshid sebagai penghormatan buat kumpulan itu.

“Alhamdulillah, kami bertuah kerana berpeluang berkongsi pentas dengan artis nasyid dari pelbagai negara.

“Apatah lagi dapat berduet dengan Sheikh Sayed Arshid. Ia satu penghormatan besar buat kami.

“Semoga mesej dakwah ini terus tersebar ke seluruh dunia,” kata Rahim.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN