PETALING JAYA: Penyanyi, Marsha Milan, 40, menafikan dirinya sedang hamil seperti didakwa warganet selepas video penampilannya di Konsert Suara 34 tular di media sosial, semalam.
Menerusi video tersebut, Marsha dilihat sedang menyanyikan lagu Hening Rindu dalam busana berwarna hijau. Bagaimanapun, netizen mula membuat andaian bahawa Marsha sedang berbadan dua melihat kepada tubuhnya yang dikatakan semakin berisi.
“Saya tidak mengandung. Cuma saya memang makan banyak,” tulisnya di Instagram Story pada Isnin sekali gus menafikan khabar angin yang berlegar di media sosial.
Sebelum ini, Marsha pernah berkongsi terpaksa menangguhkan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) yang sepatutnya dilakukan dua tahun lalu atas faktor kesibukan sebagai penyanyi.
Oleh itu, Marsha kini kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan lebih-lebih lagi selepas kejayaannya di Anugerah Juara Lagu ke-36.
Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 2015 dan pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata sehingga kini. -UTUSAN