BN tekad rampas kerusi Pas, Bersatu pada PRU-16

BN tekad rampas kerusi Pas, Bersatu pada PRU-16

AHMAD ZAHID Hamidi meletakkan tapak tangan ke atas skrin sebagai gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) bertekad merampas kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan meletakkan calon-calon terbaik pada PRU-16 bagi memastikan BN memenangi kerusi Parlimen yang dimenangi parti pembangkang terbabit pada PRU lalu.

Menurutnya, BN akan membuat kajian di kerusi-kerusi yang dimenangi kedua-dua parti pembangkang berkenaan.

“Insya-Allah kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kerusi itu akan kembali dimenangi calon-calon UMNO pada PRU akan datang,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, dekat sini hari ini.

Turut hadir,  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, UMNO dan BN akan terus memberi komitmen sepenuhnya bersama-sama Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRU-16.

Beliau yakin, jika bergabung dengan PH pada PRU akan datang, BN akan terus dapat bersama-sama kerajaan sekarang untuk menerajui negara.

“Cuba kita bersama Pas dan Bersatu, kita ada 26 kerusi, kerusi mana kita nak ambil (bertanding). Kalau kita nak menang kena buat cara nak menang, jangan nak menang tapi kita tidur.

“Jangan nak menang, kita gaduh sama sendiri, jangan nak menang kita bertikam sama sendiri, jangan nak menang orang lama ditinggalkan, mesti ada kombinasi” katanya.

Beliau yakin jika ahli di peringkat akar umbi bekerja keras untuk memastikan BN memenangi banyak kerusi pada PRU akan datang, sekali gus UMNO akan dominan semula dalam politik tanah air.

Dalam pada itu, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan UMNO sebagai sekutu langsung kepada DAP.

Katanya, kerjasama yang wujud ketika ini dibentuk atas dasar kepentingan negara dan demi menjamin kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Isu UMNO-DAP ni hanyalah permainan naratif pihak lawan kerana dalam BN, kita ada MCA, MIC,  dalam Pakatan Harapan (PH), kita ada rakan-rakan yang bantu kita capai kemenangan. Kemenangan kita hari ini bukan sebab kita hebat, tapi kerana kita dibantu oleh rakan PH dan parti lain. Saya tahu, ramai yang tak setuju, tapi itulah hakikatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN