HULU TERENGGANU: Penduduk dan pekebun di Kampung Dusun, di sini dapat menarik nafas lega apabila seekor beruang matahari jantan yang sering berkeliaran di kawasan itu berjaya ditangkap dan dipindahkan hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, haiwan itu dianggarkan seberat lebih 70 kilogram dan berusia 15 tahun.
“Kerja-kerja memasang perangkap telah dilakukan Isnin lalu oleh Perhilitan dan hari ini seekor beruang berjaya ditangkap. Operasi memindahkan beruang imo selesai kira-kira pukul 3 petang dan dilepaskan semula ke kawasan habitat semula jadi yang sesuai,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohamad Ismail,71, berkata, haiwan tersebut disedari penduduk kampung memasuki perangkap kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Syukur, beruang telah berjaya ditangkap. Sedikit sebanyak kurangkan rasa bimbang komuniti kerana kehadiran beruang ini menjejaskan rutin harian penduduk.
“Projek ternakan kelulut sebanyak 15 sarang saya usahakan sejak hampir lima tahun lalu berdekatan rumah juga sering jadi sasaran nya sebelum ini,” katanya.
Menurut Mohamad, berdasarkan cerita penduduk, ada yang pernah terserempak beruang bersaiz lebih besar berbanding ditangkap itu dan berkemungkinan lebih daripada seekor haiwan berkenaan berkeliaran di kampung berkenaan. – UTUSAN











