Bersatu gesa Anwar siasat segera kebocoran minit JAC

Bersatu gesa Anwar siasat segera kebocoran minit JAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyiasat segera isu penularan dokumen yang didakwa sebagai Minit Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh 16 Mei 2025.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sekiranya kandungan dokumen tersebut terbukti sahih, ia mampu mencetuskan krisis keyakinan yang sangat serius terhadap Perdana Menteri dan integriti institusi kehakiman negara yang sepatutnya bebas daripada sebarang pengaruh politik mahupun eksekutif.

Jelasnya, minit yang tersebar menunjukkan nama bekas Peguam Negara dan kini Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dikaitkan dengan pelbagai salah laku serius.

“Antara dakwaan yang terkandung termasuk usaha untuk memintas proses sah Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman dengan mencadangkan nama terus kepada Yang di-Pertuan Agong, selain cubaan mempengaruhi keputusan kehakiman.

“Malah, beliau turut dikatakan pernah membuat permintaan agar hakim-hakim tertentu ditukar serta mendesak Ketua Hakim Negara ketika itu untuk campur tangan dalam keputusan mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Tun Faisal turut mempersoalkan bagaimana individu yang dikatakan mempunyai pengalaman kehakiman yang terlalu singkat dan hampir tiada penghakiman bertulis boleh dicalonkan ke jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.

“Kebimbangan terhadap ketelusan JAC semakin meruncing apabila undian terhadap pencalonan Hakim Besar Malaya berakhir dengan keputusan seri 4–4.

“Lima daripada sembilan ahli JAC adalah lantikan Perdana Menteri sendiri. Ini membangkitkan keraguan terhadap integriti keseluruhan proses,” katanya.

Beliau berkata, nama Ahmad Terrirudin juga sebelum ini dikaitkan dengan isu-isu kontroversi melibatkan pemimpin politik utama negara termasuk kes titah adendum tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta keputusan DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat ketika beliau masih menjawat jawatan Peguam Negara.

“Perkara ini hanya menambahkan persepsi bahawa institusi kehakiman kini berada dalam genggaman kuasa politik,” katanya.

Menurut Tun Faisal, krisis keyakinan terhadap Anwar bukanlah sesuatu yang baharu, malah corak pelantikan dalam pelbagai institusi penting sejak awal pentadbiran turut menimbulkan keraguan.

“Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang kontroversi, Peguam Negara yang dilihat tidak bebas, Pengerusi SKMM yang menekan kandungan kritikal terhadap kerajaan dan individu tertentu dalam PDRM juga menimbulkan pelbagai persoalan,” katanya.

Tun Faisal berkata, sekiranya dokumen minit mesyuarat JAC yang tular itu benar, maka seluruh sistem keadilan negara kini terjejas dan rakyat tidak lagi mempunyai tempat bergantung kepada keadilan yang bebas dan berkecuali.

“Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kemerosotan keyakinan rakyat terhadap sistem negara dan meletakkan jawatan dengan serta-merta.

“Anwar telah gagal mempertahankan kebebasan institusi dan kini menjadi punca utama kepada krisis keyakinan yang menyeluruh terhadap pentadbiran negara,” katanya.

Sehubungan itu, Tun Faisal menggesa supaya satu siasatan bebas dan telus segera dilakukan terhadap dokumen yang bocor tersebut.

“Sekiranya terbukti sahih, semua pelantikan yang berkait dengan Ahmad Terrirudin mesti digantung serta-merta dan semua ahli JAC yang menyokong pencalonan tersebut perlu disiasat serta digantung daripada jawatan mereka.

“Kita semua sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab menghentikan sel barah yang sedang mengganas dan menjangkiti seluruh sistem negara. Inilah saatnya untuk kita bangkit menyelamatkan negara yang kita cintai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN