KOTA TINGGI: Kehadiran pelakon dan penyanyi terkenal, Bella Astillah, 31, pada acara 113 International Triathlon Desaru Malaysia 2025 hari ini mencuri tumpuan ramai apabila dilihat memberi sokongan padu bukan sahaja kepada anaknya, Ayden Adrean, 8, malah turut berada di sisi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bella kelihatan setia menemani kedua-dua mereka sejak awal pagi dan sempat berbual mesra bersama Syed Saddiq sebelum acara renang bagi kategori anaknya dimulakan sekali gus mencetuskan perhatian para peserta dan penonton di lokasi acara.
Tampil santai mengenakan T-shirt hitam dan seluar jean, Bella turut ditemani anak perempuannya, Ara Adreanna, 5 yang setia berada di sisi ibunya sepanjang acara berlangsung.
Bella juga dilihat begitu teruja dan tidak lekang memberi semangat kepada Ayden yang menyertai triathlon buat kali pertama walaupun baru menjalani latihan selama seminggu.
Difahamkan, Ayden merupakan antara peserta termuda dalam acara kali ini, dan keberaniannya mencuba sukan lasak yang melibatkan renang, berbasikal dan larian itu mendapat pujian ramai.
Bella ketika ditemui media berkata, kehadirannya adalah sebagai ibu yang ingin memberi sokongan moral kepada anak dan mereka yang rapat dengannya.
“Saya tak pernah paksa Ayden, tapi bila dia tunjuk minat, saya sokong sepenuhnya. Sukan ini sangat bagus untuk kesihatan dan semangat juang. Sebagai seorang emak, memang saya risau juga, tapi saya bangga dia berjaya habiskan perlumbaan,” katanya.
Mengulas tentang pengalaman semasa perlumbaan, Bella mengakui hatinya tidak tenang sewaktu Aidan tidak kelihatan semasa kayuhan berbasikal.
“Memang saya sangat bimbang. Waktu berbasikal tadi pun risau bila dia tak muncul-muncul. Tapi biasalah naluri seorang emak, semua orang pun panik cari anak masing-masing. Tapi ini pengalaman yang sangat berharga,” katanya.
Dalam pada itu Ayden berkata, cabaran utama yang dihadapi ialah semasa berenang apabila pelampung keselamatannya hanyut, menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan renangan di laut atas faktor keselamatan.
“Kalau saya teruskan ke tengah laut dan lemas, saya tak boleh nak sambung. Tapi saya dah cuba yang terbaik.
“Masa berbasikal Ayden memang sangat penat tapi saya tak pernah putus asa. Saya rasa ini pertandingan paling istimewa yang saya pernah cuba,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq ketika ditanya mengakui hadir ke acara itu bersama Bella Astillah.
Katanya kehadirannya bukan sekadar untuk bertanding, malah turut memberi dorongan moral kepada Ayden yang disifatkannya sebagai berani dan bersemangat tinggi meskipun masih muda.
“Seseorang itu (Bella Astillah) sedang menemani anaknya sekarang untuk menghabiskan sukan triathlon tersebut. Saya sendiri turut memberikan sokongan dan dorongan kepada adik Ayden,” katanya. – UTUSAN