IPOH: Bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, kira-kira 10.15 malam tadi.
Pasukan perubatan segera memberikan rawatan kecemasan sebaik insiden berlaku sebelum beliau dikejarkan ke Hospital KPJ Manjung, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Terdahulu, tular satu video memaparkan pemain itu tiba-tiba rebah ketika beraksi mewakili pasukannya menentang legenda dari Kedah.
Kejohanan tersebut menghimpunkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Firos Mohammed dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik negara dan Pulau Pinang pada era 90-an.
Penang FC dalam kenyataan menerusi akaun Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. – UTUSAN