Bekas kakitangan syarikat minyak dalang palsu permit kerja RM5 juta 

Bekas kakitangan syarikat minyak dalang palsu permit kerja RM5 juta 

JENAYAH-CULIK OKU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat individu termasuk dua pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.

Kesemua suspek ditahan pukul  6 petang hingga 7 malam pada 30 Jun lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Sumber berkata, dua daripada empat ditahan terdiri bekas Pengurus Tadbir dan bekas Pembantu Tadbir sebuah syarikat minyak tempatan dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2019 sehingga 2023.

“Kedua-dua suspek tersebut juga disyaki telah bersubahat dengan kedua-dua pemilik syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta,” katanya.

Perintah reman dikeluarkan dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, semalam selama empat hari sehingga 5 Julai ini terhadap tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita.

Menurut sumber, tangkapan terhadap kesemua suspek ini adalah susulan Op Effingo yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM.

Menerusi operasi itu, 10 lokasi berbeza termasuk kediaman suspek, pejabat dan beberapa buah syarikat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Lembah Klang pada 30 Jun lalu.

“Sebanyak 22 akaun bank disita termasuk akaun ASB bernilai kira-kira RM2 juta dan juga pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM14,000.

“Selain itu,  SPRM turut menyita tiga unit kereta mewah berjumlah kira-kira RM1.3 juta dan telefon bimbit (tiga unit),” jelasnya. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. 

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesalahan lain di bawah AMLATFPUAA 2001 berkaitan aliran wang yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN