KUALA TERENGGANU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun, pertengahan bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Nor Aklima Wan Salleh dan mohon dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di daerah Marang, dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang pada 16 Jun lalu. Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi yang kira-kira pukul 5.30 petang pada 18 Jun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan syarat tambahan agar tertuduh diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM36,000 serta menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










