Bapa Hisyam Hamid hidap kanser, tidak berhenti nangis tengok poster filem - Utusan Malaysia

Bapa Hisyam Hamid hidap kanser, tidak berhenti nangis tengok poster filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hisyam Hamid, mendedahkan bapanya, Hamid Gani, 65, tidak berhenti menangis ketika menonton lakonannya sepanjang tayangan filem terbaharunya, Memori.

Cerita Hisyam, bapanya yang kini mengidap kanser tekak hadir memberikan sokongan untuk filem terbaharunya namun mengakui ini kali pertama dia menangis mungkin disebabkan jalan cerita yang dekat dengan hubungan mereka berdua.

“Filem ini ada banyak persamaan dengan saya di dunia nyata. Sebab ibu dan ayah sudah berpisah pada usia saya sekitar empat tahun. Ayah kemudian berpindah ke Malaysia. Saya dibesarkan oleh emak, arwah atuk dan nenek.

“Tapi hubungan kami okay sahaja sehingga hari ini. Saya sudah berdamai dengan trauma masa lalu dan juga pengalaman hidup yang buruk. Saya sudah lupakan dan hidup lebih tenang sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Hisyam, dia turut terharu apabila mengetahui bapanya sudah mengalirkan air mata sebaik sahaja melihat wajah pelakon itu di poster filem. Bahkan, tangisannya masih belum reda walaupun filem tersebut sudah habis ditayangkan.

“Ayah saya hidap kanser, jadi dia tidak boleh cakap atau beri komen. Tapi dia sudah tamat jalani sesi radioterapi dan kemoterapi. Selepas tengok filem ini, dia peluk dan cium saya.

“Ibu tiri saya cakap ayah menangis tidak berhenti. Ayah tengok muka saya dekat poster dia terus rasa sedih. Semasa sesi temu ramah media pun saya masih nampak dia lap air mata,” katanya.

Pelakon asal Singapura itu tidak menafikan, karakter Imran dalam filem Memori sangat memberi kesan kerana dekat dengan sisi peribadinya.

Oleh itu, Hisyam pernah menutup media sosial selama dua minggu untuk memulihkan kembali keadaan emosinya.

“Filem ini sangat dekat dengan saya sebab itu ia begitu berat. Mungkin produksi tahu dan mereka mahu yang terbaik daripada saya.

“Memang ada keadaan saya rasa terganggu di mana ada satu fasa saya tidak boleh tengok media sosial. Saya tidak boleh tengok orang kongsi keluarga yang bahagia. Saya rasa sangat terkesan.

“Bila sudah habis penggambaran, kira-kira dua minggu selepas itu baru saya boleh buka semula media sosial. Kalau cakap dengan orang luar, mungkin mereka tak faham dan cakap ini ‘method acting’.

“Tapi memang adakalanya sesuatu lakonan itu beri kesan kepada emosi dan mental. Itu cabaran yang sebenar,” tambahnya.

Filem memori mengisahkan bapa yang hilang ingatan akibat Alzheimer. Turut menjayakan naskhah yang ditayangkan bermula 31 Julai ini ialah Datuk Hilal Azman, Diana Danielle dan Anas Ridzuan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN