GEORGE TOWN : Dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berasingan bagi membantu siasatan berhubung tindakan khianat menyimbah cat dan membakar rumah di Tasek Gelugor, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan pada 3 Julai lalu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang.
Beliau berkata, suspek-suspek tersebut berjaya dijejaki selepas dipercayai terlibat dalam satu lagi kes simbah cat di Tanjung Tokong pada 30 Jun lalu.
“Hasil soal siasat, kedua-dua mereka mengaku terlibat dalam kejadian khianat dengan api serta lima kes simbah cat berkaitan pinjaman wang tidak berlesen.
“Susulan penahanan suspek, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk sebuah motosikal, ‘sport rim’, topi keledar, telefon bimbit, pakaian dan beg silang,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian 24 Jun lalu itu, tiga buah rumah teres dua tingkat hangus dijilat api manakala lima motosikal dan empat buah kereta turut rosak dalam satu kebakaran yang dipercayai berlaku akibat perbuatan khianat.
Difahamkan, kebakaran bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah yang lain dan nilai kerugian akibat kejadian itu dianggarkan mencecah RM300,000.
Sementara itu, Mohd. Alwi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
“Dalam hal ini, orang ramai yang menjadi mangsa gangguan atau ugutan daripada sindiket Ah Long dinasihatkan supaya tampil membuat laporan polis segera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku yang terlibat,” ujar beliau.-UTUSAN