PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah teater, Aloy Paradoks bertindak membuang pelakon tidak berdisiplin daripada sebuah projek pementasan.
Jelas Aloy, pelakon teater wanita itu memberi alasan demam untuk mengelak daripada menghadiri sesi latihan.
“Saya terima alasannya dan teruskan latihan seperti biasa. Tapi selesai sesi, saya ternampak dia sedang lepak di sebuah restoran berhampiran lokasi latihan.
“Tanpa tunggu lama, saya maklumkan wataknya digugurkan daripada pementasan. Saya memang sukar bertolak ansur dengan sikap seperti itu. Dalam teater, disiplin sangat penting,”katanya.
Menurut Aloy, setakat ini dia belum mempunyai masalah dengan pelakon profesional kerana mereka lebih bersikap terbuka dan jujur sekiranya tidak dapat hadir kerana komitmen lain.
“Kalau melibatkan artis profesional, mereka lebih berterus terang. Mereka akan maklum awal jika ada komitmen kerja lain. Itu lebih saya hargai,” katanya.
Dalam pada itu, Aloy kini terlibat sebagai pelakon dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor (PSA) yang bakal dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai ini.
Berkongsi cabaran menjayakan naskhah ini, Aloy berkata dia memainkan dua watak serentak iaitu Saddiq Saufy dan Hamlet sekali gus memerlukan penghayatan mendalam.
“Cabarannya adalah mendalami dua watak ini secara serentak. Tanpa sedar, saya sedang ‘hidup’ sebagai dua individu berbeza.
“Itu antara perkara mencabar selain menyampaikan dialog panjang dengan penuh rasa dan tetap kelihatan bersahaja.
“Ia sukar, terutama bila menggunakan bahasa baku tetapi perlu disampaikan dengan lancar dan tidak kaku,” katanya.
Persiapan Seorang Aktor menyelami perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawakan.
Naskhah ini turut menyelongkar kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah untuk melangkaui kehebatan legenda-legenda seni pentas dunia.
Tiket sudah mula terjual dan boleh didapati di www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.