JOHOR BAHRU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Asman Shah Abd. Rahman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor baharu menggantikan Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Pelantikan itu diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.
Baginda berkenan menyampaikan penyerahan Surat Tauliah dalam satu majlis istiadat yang diadakan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli.
Asman Shah, 59, pernah menyandang jawatan Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya (UM) serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun.
Selain jawatan pentadbiran, Asman Shah jugat merupakan Presiden Persatuan Selam Skuba Pegawai Tadbir Johor dan Pengurus Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2019 dan 2020. – UTUSAN