ASF: Tapak alternatif lupus bangkai babi sedang dikenal pasti

ASF: Tapak alternatif lupus bangkai babi sedang dikenal pasti

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri sedang mengenal pasti tanah-tanah alternatif untuk dijadikan sebagai tapak pelupusan bangkai babi yang dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha mencari lokasi baharu itu kini sedang giat dijalankan oleh Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kawasan pelupusan tambahan diperlukan.

“Setakat ini, bangkai babi yang telah dimusnahkan ditanam dalam kawasan ladang masing-masing sebagai langkah kawalan awal.

“Dalam hal ini, hanya JPV yang diberikan kuasa untuk menjalankan pemeriksaan dan ujian di semua ladang ternakan bagi mengenal pasti sama ada terdapat kes positif ASF atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, tiga buah ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif jangkitan ASF berdasarkan keputusan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, dua daripada tiga ladang itu turut menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan ASF ke ladang-ladang berdekatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, setakat 17 Julai lalu, sebanyak 822 ekor babi telah dimusnahkan kerana dijangkiti ASF.

“Tiga ladang disahkan positif ASF setakat ini manakala ladang-ladang lain masih dalam siasatan lanjut. Kesemua babi yang dimusnahkan itu juga berasal dari dua daripada tiga ladang terbabit,” kata beliau.

Tambahnya, ketika ini, sebanyak 13 sampel yang diambil dari ladang di SPU, empat dari Seberang Perai Selatan (SPS) dan satu dari daerah Barat Daya telah disahkan positif ASF.

“Sehubungan itu, JPV Pulau Pinang kini sedang giat menjalankan siasatan dan akan mengambil sampel lanjutan di ladang-ladang yang berkaitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN