KUALA LUMPUR: Pelakon, Muaz Zabir tidak menafikan kemenangan anugerah meninggalkan impak besar kepada kerjaya pelakon.
Namun, pemilik nama penuh Muaz Mohamad Zabir itu menegaskan penganugerahan bukan perkara yang dikejarkannya buat masa ini.
“Hal ini disebabkan ada juga syarikat produksi yang takut mendekati pelakon yang memenangi terlalu banyak anugerah.
“Jadi pada saya, tak menang anugerah pun tidak mengapa asalkan kerja berlakon sentiasa ada.
“Dan Alhamdulillah, selama tiga tahun ini saya tidak putus tawaran berlakon. Kalau terhenti pun tidaklah sampai tiga hingga empat bulan,” katanya yang ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat, baru-baru ini.
Muaz dalam anugerah itu turut tercalon bagi kategori Selebriti Newcomer Terhangat.
Dalam masa yang sama, pelakon berusia 27 tahun itu berkata buat masa ini dia mahu menumpukan untuk bekerja keras bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.
“Saya masih baharu dalam industri ini. Fokus saya sekarang adalah untuk membina kewangan yang stabil.
“Banyak lagi perkara yang perlu saya perbetulkan dan banyak lagi bidang yang hendak saya ceburi.
“Oleh yang demikian, anugerah itu, kalau terima, Alhamdulillah rezeki. Kalau tidak, tak mengapa,” jelasnya. – UTUSAN