PETALING JAYA: Perdana Menteri merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah kali ke-79.
Menerusi hantaran di platform Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar baginda terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan serta kekal karar memerintah Brunei dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan keberkatan daripada Allah Subhanahuwataala.
“Malaysia sentiasa komited untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin erat dengan Brunei demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Hubungan Malaysia dan Brunei yang terjalin sejak sekian lama atas asas persaudaraan serumpun serta kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, keselamatan, pendidikan dan kebudayaan.
Sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei merupakan acara diraja utama yang disambut setiap 15 Julai dengan pelbagai acara rasmi termasuk titah diraja, perbarisan kehormatan dan majlis doa kesyukuran. – UTUSAN