Anwar nafi nama Ketua Hakim Negara ditukar saat akhir

Anwar nafi nama Ketua Hakim Negara ditukar saat akhir

ANWAR IBRAHIM ketika hadir pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, cadangan nama Ketua Hakim Negara telah dikemukakan dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong lebih awal dan bukannya ditukar pada saat-saat akhir sebelum nama diumumkan.

Perdana Menteri menegaskan, kekeliruan dan dakwaan kononnya berlaku pertukaran nama calon terakhir hanyalah satu tohmahan tidak berasas, yang sengaja dipolitikkan oleh segelintir pihak bagi mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Sistem (kehakiman) itu dikatakan telah dirosakkan. Ada yang sengaja mahu mempolitikkan isu. Seminggu kita dihentam kononnya Perdana Menteri tidak jawab. Mana mungkin saya boleh jawab ketika itu kerana prosesnya (pelantikan hakim) masih berjalan.

“Cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara perlu melalui peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan saranan daripada Perdana Menteri untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas dirunding bersama Majlis Raja-Raja,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Menurut Anwar, beliau tidak boleh mendahului proses tersebut memandangkan perbincangan Majlis Raja-Raja berlangsung pada 15 dan 16 Julai lalu.

“Nama calon telah saya kemukakan lebih awal, sebelum negara ‘riuh’. Kita hanya tunggu giliran Majlis Raja-Raja bermesyuarat. Sebelum itu, pelantikan-pelantikan lain seperti Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah dikemukakan dua bulan atau dua bulan setengah lebih awal.

“Semuanya ikut proses. Tiada siapa boleh mendahului perkenan Tuanku dan rundingan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tidak timbul isu pertukaran nama saat akhir kerana nama yang dikemukakan sejak awal itu kekal dan tidak berubah.

“Kononnya ada nama lain yang masuk, Datuk ini atau Tan Sri itu. Tapi sebenarnya tidak ada. Itu semua hanya spekulasi yang sengaja direka.

“Saya percaya ada juga pihak yang membocorkan maklumat dan menyebarkan cerita sebegini, tidak mengapalah Itu kerja mereka. Tapi sekarang, bila sudah jelas, tak ada siapa bersuara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu ini menjadi bukti bagaimana sesuatu perkara boleh diperbesar-besarkan sehingga seolah-olah kerajaan telah mengkhianati sistem atau menyalahgunakan kuasa.

Tambah beliau, penjawat awam juga perlu faham proses sebenar pelantikan kehakiman agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau andaian yang tidak berasas.

“Inilah contoh bagaimana seluruh negara ‘riuh’ kononnya kerajaan melanggar prinsip pemerintahan, khianat dan menyalah guna kuasa. Padahal ia tidak berlaku.

“Alhamdulillah, akhirnya proses selesai dengan baik. Sekarang, yang maki saya minggu lepas pun diam. Ini pengajaran, jangan hukum dahulu. Sama seperti segelintir ustaz yang suka jatuh hukum tanpa mendengar penjelasan,” tegasnya.

Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 dan hakim atasan lain telah memadamkan polemik, keluh kesah, fitnah dan tohmahan yang dihadapi kerajaan sejak bermingu-minggu lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN