PETALING JAYA: Walaupun sibuk dengan urusan rasmi di Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa untuk pulang ke kediaman lamanya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, semalam.
Menurut Anwar, kediaman tersebut bukan sekadar struktur berdinding papan dan berlantaikan simen, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada segala perjuangan yang digalasnya hari ini.
Malah, Anwar berkata, rumah kecil itu sentiasa mengingatkan dirinya akan asal usul serta perjuangan yang menjadi pegangannya sejak sekian lama.
“Rumah ini dulu sempit dan serba sederhana tetapi di sini kasih sayang membenih subur dan di sini saya serta adik-beradik belajar erti kehidupan, dari tawa girang, tangisan hingga ke jerih perih ibu bapa yang saban hari mencurah keringat demi masa depan kami sekeluarga.
“Setiap sudut menyimpan seribu cerita, lantainya saksi pada langkah-langkah kecil yang kini melonjak saya sejauh ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kunjungan itu, Anwar turut meluangkan masa bersama abang dan adiknya, Idrus Ibrahim dan Marzuki Ibrahim yang turut membesar bersamanya dalam rumah yang sama.
“Ada rindu yang terubat, ada kenangan yang kembali mekar dan terpaculnya kesedaran betapa jauhnya perjalanan ini yang bermula dari kasih yang tercurahkan dari rumah yang serba sederhana ini.
“Sejauh mana pun saya melangkah, ini akar pangkal saya. Ini asal saya, Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam,” katanya. – UTUSAN










