Anwar bukan Perdana Menteri dipilih rakyat

Anwar bukan Perdana Menteri dipilih rakyat – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin berucap di Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mentadbir negara dengan berkesan sehingga menyebabkan rakyat terus menanggung penderitaan.

Berucap dalam Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka hari ini, beliau berkata rakyat kini hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan apabila kos sara hidup semakin meningkat, pendapatan tidak bertambah dan janji pilihan raya masih belum ditunaikan.

“Kita berkumpul di Dataran Merdeka bukan sekadar berhimpun, tetapi sebagai tanda penentangan terhadap cengkaman yang menekan rakyat. Saya lihat wajah-wajah yang hadir hari ini, penuh kesedihan dan kekecewaan. Hampir tiga tahun kerajaan ini memerintah, namun nasib rakyat masih tercengkam,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sering melaungkan konsep tadbir urus berintegriti, tetapi hakikatnya tidak menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat, sama ada di pedalaman mahupun di bandar.

Menurut beliau, harga barangan asas terus meningkat dan kerajaan dilihat gagal mengawal keadaan meskipun memiliki kuasa dan peruntukan undang-undang untuk bertindak.

“Kerajaan ini tidak bersifat prihatin. Ada pihak menyorok bekalan, ada yang memanipulasi pasaran sehingga harga barang melambung. Namun tiada sebarang tindakan diambil. Rakyat bukan hanya mahu harga barang turun, tetapi Anwar yang harus turun,” katanya.

Muhyiddin turut membangkitkan isu pelaksanaan cukai perkhidmatan (SST) ke atas lebih 6,000 barangan dan perkhidmatan, termasuk sewaan pakaian pengantin dan majlis kenduri yang sebelum ini tidak dikenakan cukai.

“Dulu hanya sekitar 2,000 barang dikenakan cukai. Sekarang sudah lebih 6,000. Nak kahwin pun kena cukai. Pelaksanaan pula dibuat secara tiba-tiba pada 1 Julai tanpa makluman jelas kepada rakyat. Ini satu tindakan zalim,” tegasnya.

Tambah beliau, bantuan tunai RM100 yang diberikan kerajaan juga tidak memberi impak besar kerana tidak disasarkan dengan betul.

“Kalau kerajaan tahu mengurus, bantuan harus diberikan khusus kepada golongan B40. Tidak perlu diagih kepada M40 dan T20. Kalau kita yang tadbir, B40 boleh dapat tiga kali ganda,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu rasuah apabila pemimpin utama kerajaan sendiri terpalit dengan puluhan kes, namun akhirnya dilepaskan.

“Timbalan Perdana Menteri ada 47 kes. Mahkamah telah putuskan wujud kes prima facie dan perlu bela diri. Tetapi tiba-tiba dilepas. Kalau betul mahu perangi rasuah, tindakan mesti diambil tanpa pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata, Anwar bukan Perdana Menteri yang dipilih melalui majoriti rakyat dan tidak sepatutnya terus memegang jawatan jika gagal menunjukkan prestasi yang meyakinkan.

“Anwar memang kawan saya, tetapi ini bukan soal kawan. Ini soal rakyat dan negara. Sebagai pemimpin, kita akan dipersoal oleh Allah tentang apa yang telah kita lakukan terhadap rakyat yang kita pimpin,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×