PETALING JAYA: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 kepada 4.2 peratus, daripada 4.7 peratus sebelumnya, selepas mengambil kira peningkatan ketidaktentuan global.
Ini berpunca daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) dan kesan seterusnya daripada kelembapan yang lebih meluas dalam permintaan global.
Dalam kemas kini suku tahunan terbaharu Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO), AMRO turut menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk 2026 kepada 3.8 peratus, daripada 4.5 peratus semasa unjuran pada April lalu.
AMRO meramalkan rantau ASEAN+3 (+China, Jepun dan Korea Selatan) berkembang pada kadar 3.8 peratus pada 2025 berbanding unjuran terdahulu pada 4.2 peratus, sebelum menyederhana kepada 3.6 peratus pada 2026.
Katanya, ini mencerminkan ketidaktentuan global yang memuncak, terutamanya akibat langkah tarif AS.
Ketua Ekonomi AMRO Dong He berkata, rantau ASEAN+3 memasuki tempoh pergolakan perdagangan global ini daripada kedudukan yang relatifnya kukuh dan daya tahan.
“Kebanyakan pembuat dasar serantau telah bertindak awal untuk mengurangkan kesan kejutan perdagangan dan ruang dasar kekal tersedia untuk sokongan lanjut jika diperlukan.
“Dalam dunia yang semakin dibentuk semula oleh perpecahan, integrasi serantau yang lebih mendalam adalah penting dan perlu.
“Dengan mengukuhkan kerjasama serantau sambil mengekalkan keterbukaan kepada dunia, ASEAN+3 boleh membina daya tahan terhadap kejutan luar dan mewujudkan peluang pertumbuhan baharu,” katanya dalam kenyataan.
Inflasi di rantau ini terus sederhana, walaupun dengan kenaikan sementara harga minyak didorong oleh ketegangan di Asia Barat, manakala pasaran kewangan juga menunjukkan daya tahan, dengan mata wang serantau secara amnya meningkat berbanding dolar AS.
Selain itu, kemajuan yang tidak sekata dalam rundingan tarif dan potensi pengembangan tarif kepada produk tambahan boleh mengganggu lagi aktiviti perdagangan dan menjejaskan pertumbuhan bagi rantau ini. – UTUSAN










