Ambil jururawat memiliki kelulusan ijazah demi gaji setimpal

Ambil jururawat memiliki kelulusan ijazah demi gaji setimpal

Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahma
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran memastikan semua jururawat yang diambil bekerja memiliki kelulusan ijazah agar ganjaran gaji yang diterima setimpal dengan tanggungjawab yang digalas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, langkah itu perlu dilihat sebagai satu pelan jangka panjang dalam merangka unjuran keperluan tenaga kerja kesihatan di hospital kerajaan.

Katanya, kerajaan juga perlu melaksanakan perubahan dalam struktur perjawatan di hospital kerajaan bagi melahirkan jururawat yang bertaraf profesional.

“Isu jururawat ini agak kompleks kerana terdapat pelbagai latar belakang kelayakan. Ada yang berkelulusan diploma dan ada yang memiliki ijazah. 

“Ada juga transisi daripada diploma ke ijazah, malah terdapat beberapa sekolah latihan kejururawatan sudah ditutup yang menyumbang kepada penurunan jumlah jururawat baharu.

“Dalam masa sama, terdapat hospital kerajaan yang hanya menawarkan jawatan kepada pemegang diploma, sedangkan kebanyakan universiti kini melahirkan graduan kejururawatan berijazah.

“Keadaan ini menyebabkan ramai tenaga kerja berpotensi tidak dapat diserap dan akhirnya memilih untuk berhijrah ke sektor swasta atau luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal dan mengambil pendekatan meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang.  

Ia susulan, seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM direkodkan telah meletak jawatan dan beralih ke sektor kesihatan swasta antara 2020 hingga 2024 kerana tawaran gaji serta manfaat yang lebih baik dibandingkan dengan sektor kesihatan awam. 

Dr. Jamalludin mendedahkan masalah kekurangan jururawat bukan sahaja berlaku di hospital kerajaan, malah turut dialami hospital pengajar universiti.

Katanya, terdapat kes pelatih jururawat ‘disunting’ oleh syarikat swasta semasa mereka masih dalam tempoh latihan.

“Contohnya, ada yang masih di tahun kedua pengajian sudah ditawarkan biasiswa oleh pihak swasta. Sudah tentu, sebaik tamat pengajian mereka akan terus berkhidmat di sektor swasta.

“Inisiatif sebegini biasanya datang daripada hospital swasta luar negara yang sememangnya bersedia menggaji jururawat berkelulusan ijazah,” katanya.

Bagi penyelesaian jangka pendek, beliau menggesa jururawat tidak dibebani dengan tugas tambahan yang boleh menjejaskan motivasi mereka untuk terus kekal di hospital kerajaan.

“Suasana kerja perlu ditambah baik supaya mereka berasa selesa untuk terus berkhidmat. Infrastruktur juga perlu dipertingkatkan kerana kesesakan di wad boleh menambah tekanan serta beban kerja sedia ada.

“Paling penting, kerajaan perlu menunjukkan kepercayaan yang jelas terhadap profesion kejururawatan agar jururawat sedia ada tidak meninggalkan sektor perkhidmatan awam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN