PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Aishah menegaskan dirinya kurang selesa dengan tindakan sesetengah pihak yang mahu mengambil gambar putera sulungnya, Muhammad Faliq tanpa kebenarannya.
Kata Aishah, dia berasa kurang senang apabila anak kesayangannya itu didekati oleh orang yang tidak dikenali meskipun hanya kerana mahu bergambar.
“Tidak perlulah, ambil gambar dengan saya saja, dengan Faliq buat apa. Dia bukan artis pun, dia budak yang belum kenal dunia lagi.
“Sejujurnya, saya tidak berapa minat orang nak ambil gambar anak saya tanpa kebenaran saya.
“Maksud saya, orang yang tidak dikenalilah. Lagi-lagi kalau jenis pakai flash, terkejut mata anak saya,” tulisnya di Instagram Story.
Puteri Aishah berkata demikian selepas menyedari luahan salah seorang pengikutnya yang memaklumkan dirinya mahu bergambar dengan si kecil itu sekiranya bertemu dengannya di luar.
Mengakui dirinya pernah dihimpit rasa bersalah kerana membiarkan anaknya bergambar dengan individu yang tidak dikenali, Aishah menyifatkan situasi itu sebagai pengajaran buat dirinya.
Malah, dia juga berharap agar orang ramai memahami limitasi yang telah ditetapkannya adalah untuk kebaikan dan keselamatan anak tersayangnya.
“Pernah satu kali itu, orang nak ambil gambar anak saya saja, bukan dengan saya. Tapi masa itu saya ‘blur’ tau.
“Iyalah, baru pertama kali jadi ibu kan, macam ‘blur’ orang nak ambil gambar anak jadi, saya pun macam okay.
“Tapi bila fikir-fikir balik, macam tak perlu kot orang ambil gambar Faliq. Tapi saya tak marah tau kalau orang bertanya secara baik. Cuma saya harap orang pun faham,” jelasnya.
Untuk info, Puteri Aishah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan iaitu Muhammad Firdaus pada November 2021.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Faliq yang kini berusia setahun.-utusan