PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Albert Tei, yang sebelum ini dikenali sebagai pemberi maklumat dalam kes skandal perlombongan di Sabah menegaskan segala dakwaan yang dikaitkan dengan dirinya adalah tidak berasas dan berniat jahat.
Peguamnya, Mahajoth Singh menerusi kenyataan berkata, semua tuduhan terhadap anak guamnya adalah palsu sepenuhnya, tidak mempunyai asas undang-undang dan bertujuan semata-mata untuk mencemarkan reputasinya.
“Beliau mengekalkan semua hak yang tersedia di bawah undang-undang dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya perlu,” katanya, di sini hari ini.
Mahajoth berkata, anak guamnya akan membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita yang didakwa menerbitkan tuduhan palsu serta berunsur fitnah ke atas dirinya.
Jelasnya, laporan tersebut telah dikemukakan kepada pihak polis dan dimaklumkan ia akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan segera.
“Di bawah arahan anak guam saya, kami juga telah menghantar surat kepada pengendali portal terbabit bagi mendapatkan maklumat alamat untuk tujuan penyerahan dokumen berkaitan prosiding saman fitnah.
“Sekiranya mereka memilih untuk menerima secara elektronik, kami telah meminta pengesahan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Tei dihadapkan ke mahkamah pada 30 Jun lalu, atas dakwaan memberi rasuah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Yusof Yacob.
Beliau didakwa memberi wang tunai masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM200,000 sebagai balasan bagi mendapatkan bantuan dalam proses permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah untuk dua syarikat iaitu Sinaran Hayat Sdn. Bhd. dan Nusa Kini Sdn. Bhd.
Ketiga-tiga individu berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memohon untuk dibicarakan.-UTUSAN










