alaysia terajui pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030

Malaysia terajui pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030

AHMAD Zahid Hamidi pada CYDES 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menerajui pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 iaitu pelan hala tuju bagi memperkukuh daya tahan serantau dalam menghadapi era pendigitalan pesat yang dijangka dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia meletakkan keselamatan siber sebagai teras utama agenda serantau, termasuk memperkukuh kepimpinan rantau ini dalam kerjasama keselamatan siber global.

Bagaimanapun, menurut beliau, negara-negara ASEAN masih berbeza dari segi takrifan, siasatan dan pendakwaan jenayah siber, serta jurang yang semakin melebar sejajar dengan perkembangan teknologi yang memberi ruang kepada penjenayah siber mengeksploitasi ketidakselarasan rentas sempadan.

“Bagi menangani isu ini, saya menggesa agar Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 memberi penekanan khusus terhadap kolaborasi masa nyata dalam kalangan negara anggota, khususnya dalam tindak balas insiden, forensik digital, pertukaran data selamat dan penyelarasan dasar.

“Segala mekanisme ini mesti berteraskan prinsip kerahsiaan, kedaulatan dan kepercayaan bersama yang penting dalam pengurusan ancaman keselamatan siber sensitif dan merentasi sempadan,” katanya ketika berucap pada Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, Malaysia komited mempertingkat keupayaan keselamatan sibernya dalam mendepani landskap ancaman yang kian mencabar.

Katanya, landskap ancaman kini berubah lebih pantas daripada sebelumnnya yang mana Menurut Global Cybersecurity Outlook 2025, 60 peratus organisasi melaporkan bahawa ketegangan geopolitik telah memberi kesan secara langsung terhadap kesiapsiagaan siber mereka.

“Sebanyak 72 peratus mengalami peningkatan dalam risiko siber. Separuh daripadanya menyenaraikan kecerdasan buatan (AI) sebagai kebimbangan utama dan 40 peratus telah pun menjadi mangsa serangan kejuruteraan sosial.

“Di Malaysia, situasinya juga tidak kurang mendesak. Indeks Kesiapsiagaan Keselamatan Siber Cisco 2025 menunjukkan 93 peratus organisasi telah berdepan serangan berkaitan AI dalam tempoh setahun yang lalu, namun hanya 51 peratus pekerja memahami ancaman tersebut.

“Kelemahan sebenar bukan sahaja dalam sistem, tetapi juga dalam tahap kesedaran kita. Ini lah sebabnya pembangunan kapasiti menjadi teras misi keselamatan siber Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN