Akta baharu koperasi digubal

Akta baharu koperasi digubal

EWON Benedick dan Ab. Rauf Yusoh bergambar bersama penerima anugerah koperasi pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 di MITC, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang menggubal satu akta baharu koperasi bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang dijangka menjadikan ekosistem koperasi lebih responsif dan dinamik.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, melalui akta baharu itu nanti ia dapat memudahkan perniagaan koperasi serta meningkatkan tata kelola koperasi bagi menjamin pengurusan yang lebih efisien dan telus.

Menurutnya, penggubalan akta itu adalah selaras dengan reformasi Kerajaan Madani yang akan memberi ruang yang lebih luas kepada sektor koperasi negara bagi mengurangkan masalah sosial seterusnya menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kementerian sedang melaksanakan sesi libat urus dengan koperasi-koperasi di seluruh negara dalam usaha menggubal suatu akta baharu koperasi bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).

“Situasi pada masa ini menuntut koperasi untuk mengadaptasi kepada perubahan yang memerlukan kawalan perundangan perlu ditambah baik kerana objektif kita adalah menambah baik akta koperasi yang sesuai dalam menghadapi cabaran gerakan koperasi pada hari ini.

“Akta yang hendak digubal dapat meliberalisasikan gerakan koperasi serta dapat memperkasakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan agensi kawal selia kepada koperasi yang berdaftar di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 bertemakan Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara Madani yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini semalam.

Mengulas lanjut Ewon berkata, satu sesi libat urus untuk menggubal akta tersebut sedang dilaksanakan dengan koperasi-koperasi di seluruh negara dan telah bermula sejak tahun lalu.

“Kami menjelajah ke beberapa negeri bagi mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkaitan koperasi dan minggu hadapan, saya akan ke Sarawak untuk mendengar maklum balas dan pandangan pemain industri,” ujarnya.

Menurutnya, pihak kementerian telah mengadakan sesi libat urus di Pulau Pinang, Sabah dan beberapa tempat lain dan berharap dapat membentangkan akta baharu itu pada sidang Parlimen hujung tahun ini.

Sementara itu Ab. Rauf dalam ucapannya menekankan bahawa koperasi memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan negara khususnya dalam mencapai sasaran Ekonomi Madani.

“Koperasi bukan sahaja menggerakkan ekonomi komuniti, malah ia adalah platform terbaik untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan membina jaringan sokongan sosial yang kukuh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN