JAKARTA: Penyanyi, Aisha Retno, dikejarkan ke hospital selepas mengalami kejang otot dan keletihan melampau semasa bekerja di Jakarta, pada Isnin.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Aisha Retno Entertainment, Asraf Aided, pemeriksaan doktor mengesahkan penyanyi Sutera itu jatuh sakit akibat tidak mendapat rehat yang cukup selain beban kerja terlalu padat.
“Sekarang, Aisha sedang menghadiri lawatan kerja untuk penggambaran video muzik dengan pihak di Indonesia. Semalam, dia jatuh sakit semasa bekerja, badannya alami kekejangan dan dibawa ke hospital.
“Aisha sudah menerima rawatan intravena (drip) dan bantuan oksigen. Dia jadi begitu kerana tidak cukup rehat. Memang jadualnya padat dengan penggambaran, promosi lagu ‘Tak Adil’ juga memenuhi undangan persembahan.
“Pagi tadi saya ada berbual dengan ibunya kerana tidak mahu mengganggu Aisha. Alhamdulillah keadaanya sudah semakin pulih. Insya-Allah akan pulang malam ini,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam sebuah hantaran di Instagram, Naib Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke‑38 itu memohon maaf tidak dapat menjawab sebarang e-mel mahupun mesej daripada pelbagai pihak yang cuba menghubunginya selama dia jatuh sakit.
“Maaf kepada yang cuba menghubungi saya. Saya masih di Jakarta untuk lawatan kerja dan dimasukkan ke hospital. Jadi saya tidak dapat memberi sebarang respons buat masa ini.
“Saya akan pulang ke Malaysia. Selepas itu, saya pasti akan memberi maklum balas secepat mungkin,” tulisnya.