Aiman Hakim tidak tahu Whulandary mesej Zahirah, profesional di set penggambaran - Utusan Malaysia

Aiman Hakim tidak tahu Whulandary mesej Zahirah, profesional di set penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Aiman Hakim Ridza, 36, tidak mengetahui Whulandary Herman ada menghubungi isterinya, Zahirah Macwilson untuk meminta izin sebelum memulakan penggambaran drama Bad Cop.

Bagaimanapun, menurut Aiman, dia menghormati tindakan Whulan sekiranya perkara itu boleh membuatnya lebih selesa sepanjang berada di set penggambaran.  

“Saya pun baru tahu sebenarnya, Zahirah pun tidak cerita apa-apa dengan saya. Saya tidak tahu nak cakap apa. Cuma jika Whulan rasa itu tindakan yang terbaik untuknya, silakan. Asalkan dia rasa selesa. 

“Tapi untuk saya, saya sentiasa profesional di set  penggambaran. Kehadiran saya hanya untuk bekerja. 

“Alhamdulillah saya sentiasa bersyukur kerana ada keluarga yang bahagia. Merekalah kekuatan saya untuk pergi kerja setiap hari,” kata Aiman yang juga merupakan bapa kepada dua orang anak. 

Aiman ditemui Utusan Malaysia semasa sesi lawatan ke set drama Bad Cop di Damansara, baru-baru ini. 

Jelas Aiman lagi, sebagai pelakon, dia merasakan adegan intim tidak penting untuk menyokong perjalanan naskhah. 

Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan pembikin untuk menunjukkan kemesraan antara karakter tanpa perlu memaparkan adegan mesra yang keterlaluan.

“Memang ada adegan bersama Whulan tapi tetap ada batasan. Bagi saya adegan intim yang keterlaluan tidak penting terutama di Malaysia. Di Hollywood pun banyak sahaja adegan yang saya rasa tidak perlu. Kalau angkat kain tunjuk kaki sikit, orang pun sudah faham apa akan jadi.

“Tidak perlu cerita panjang lebar babak intimasi. Adegan intim memang tiada dalam drama Bad Cop, sekadar beberapa babak mesra yang penting untuk membantu cerita ini bergerak,” katanya. 

Sebagai pasangan suami isteri, Aiman mendedahkan isterinya terlibat dalam semua perkara termasuklah perbincangan mengenai keputusan kerjaya sehinggalah aktiviti hariannya sepanjang di set. 

“Bagi saya dan Zahirah komunikasi sangat penting. Kami akan cerita tentang apa sahaja.

“Zahirah di mata saya bukan hanya isteri, tapi juga seorang kawan baik yang buat saya selesa untuk berbual

“Sudah menjadi perkara normal untuk kami berbual tentang apa sahaja termasuklah aktiviti harian kami,” ceritanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN