LUMUT: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan kerusi Parlimen Lumut akan ditandingi Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, bekas Menteri Besar itu memikul tanggungjawab untuk menebus maruah UMNO di Perak khususnya di Parlimen Lumut.
“Kalau Dr Zambry jadi menteri lagi, bukan Yang Berhormat Senator tapi Yang Berhormat Datuk Seri Diraja. Insyallah (beliau) akan mewakili BN Lumut sebagai Ahli Parlimen Lumut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir.
Semasa PRU 2018, Zambry tewas di Parlimen Lumut kepada calon Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dan pada PRU 2022, Zambry kalah kepada calon Bersatu, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail.
Menurut Ahmad Zahid, selain Parlimen Lumut, beliau juga optimis dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dan Pasir Panjang akan kembali dirampas calon BN.
“Insya-Allah, dengan izin Allah pada PRU-16, kerusi Parlimen Lumut akan diambil semula di bawah UMNO dan BN. Begitu juga kerusi Pangkor dan Pasir Panjang, kita akan rebut semula.
“Ini bukan retorik, ini fakta. Zambry jangan hiba dengan kekalahan 363 undi. Saya menang (di Bagan Datuk) tetapi (dengan majoriti) 348 undi. Saya telah maafkan pengundi-pengundi Bagan Datuk dan Zambry maafkanlah pengundi Lumut.
“Kita lihat sosok rakan-rakan dari MCA, MIC dan PH. Ini mengukuhkan kekuatan baharu kita. Kekuatan untuk melihat Kerajaan perpaduan akan merampas semula tiga kerusi di Parlimen ini,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, kemenangan di Parlimen Lumut itu mampu dicapai sekiranya empat prasyarat yang digariskan berjaya diikuti setiap kepimpinan dan ahli parti.
“UMNO dan BN Lumut perlu bersatu padu dan pastikan tiada ruang untuk perpecahan. Musuh politik kita tidak kuat tetapi kelemahan dalaman akibat hilangnya keyakinan terhadap parti sendiri telah melemahkan perjuangan kita.
“Budaya lama seperti tikam belakang, menyalahkan pemimpin dan menuding jari harus dihentikan serta-merta. Penyatuan UMNO Lumut atau Bahagian adalah prasyarat utama untuk kemenangan,” katanya.
Menurut beliau, kemenangan juga tidak boleh dicapai sendirian, jadi setiap kepimpinan parti mesti menghargai dan membantu rakan-rakan di MIC dan MCA yang kini sedang melalui tempoh yang mencabar.
“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, kita tidak boleh lagi bertindak seperti parti dominan dahulu yang sering mendesak sesuka hati. Rakyat sedang memerhati, menilai tingkah laku dan kematangan kita. Sikap angkuh dan sombong perlu ditinggalkan.
“Kita mesti membuktikan bahawa UMNO telah berubah dan bersedia mengambil kembali kepercayaan rakyat dengan rendah hati dan strategi yang bijaksana,” katanya.
Ujar beliau, media sosial kini adalah medan perjuangan baharu, justeru itu Pemuda dan Puteri UMNO mesti menjadi juara dalam naratif digital. – UTUSAN