TANAH MERAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui beliau ‘terpukul’ dengan statistik menunjukkan Kelantan terus menjadi negeri tertinggi dalam penyalahgunaan dadah di negara ini.
Menurutnya, data daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuh hakikat tersebut.
“Ini tanggungjawab bersama antara kerajaan pusat dan negeri. Semua pihak mesti main peranan, bukan lepas tangan dan anggap ini masalah orang lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Tanah Merah, hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, Terengganu, Kedah dan Perlis turut mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah yang membimbangkan.
Katanya, walaupun kesemua negeri tersebut berbeza dari segi warna pertandbiran politik namun perkara itu perlu diketepikan.
“Semua pihak perlu main peranan termasuk kerajaan pusat, negeri dan seluruh angensi dalam membendung perkara ini,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kebanyakan dadah jenis sintetik yang diseludup masuk ke negara ini dibawa masuk melalui jalan air.
Katanya, pada masa sama Malaysia turut disahkan sebagai transit dadah dan kerajaan mahu perkara dibendung sebaik mungkin.-UTUSAN