KUALA LUMPUR: Seramai 13 penuntut dikurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025, hari ini.
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan biasiswa itu, yang mana 10 daripadanya merupakan penuntut peringkat doktor falsafah (PhD) manakala tiga di peringkat sarjana (penyelidikan).
Dua penerima biasiswa PhD dalam jurusan farmakologi dan farmasi ialah Mohamad Fariz Haiqal Mohd. Ruslan yang melanjutkan pengajian di King’s College London, United Kingdom (UK) dan Karen Low Ka Ling di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penerima biasiswa PhD lain ialah Muhammad Hamizan Zawawi, biologi Universiti Sains Malaysia (USM); Muhamad Aiman Hakim Nor Khalid, matematik dan statistik UKM; Sarah Dania Mohd. Kahar, undang-undang komersial Universiti Malaya (UM) dan Teoh Shu Jou, pengurusan data UM.
Turut menerima Ahmad Firdaus Ahmad Sukri bioteknologi USM; Nurul Angelyn Zulhairy Liong, genetik dan herediti UM; Nur Zakirah Jasni, sains veterinar University of Melbourne, Australia dan Nurfatima Azzahra Fadli, biokimia UKM.
Penerima BYDPA yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana pula ialah Fatini Nadiah Mohammad Zamzami, biokimia UKM; Tiew Siew Jin, bioteknologi UPM dan Yugashini P. Muhilan, biomedical materials UKM.
BYDPA merupakan biasiswa berprestij negara diperkenalkan pada 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang dalam akademik serta aktiviti kokurikulum seperti terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau dalam penghasilan kerja mengandungi elemen kreatif dan inovatif.
Sehingga kini, sebanyak 20 sesi penawaran dilaksanakan merangkumi 225 penerima iaitu 117 orang di peringkat PhD dan 108 orang di peringkat sarjana yang menerima penajaan pengajian dalam bidang ekonomi, undang-undang, sains dan teknologi, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan satu kajian impak terhadap program BYDPA yang pelaksanaannya sudah melebihi dua dekad.
“Ia telah melewati tempoh 20 tahun, dan kita berasakan perlu melihat dari segi keperluan semasa berkaitan dengan kaedah dan juga bidang-bidang yang ditawarkan kepada pelajar nanti,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan turut menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka menyempurnakan Majlis Pengurniaan BYDPA 2025.
Sementara itu, Mohamad Fariz Haiqal menyifatkan biasiswa berkenaan sebagai satu nikmat besar dan bermakna dalam hidupnya dan rakan-rakan lain, sekali gus membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian di peringkat PhD di King’s College London.
“Semoga kami dapat menyelesaikan PhD dan juga sarjana dengan jayanya dan menyumbang kepada negara kita, Malaysia,” katanya.
Karen pula berkata, dia bersyukur dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas penganugerahan biasiswa berprestij itu.
Dia yang bertugas sebagai Pegawai Farmasi Hospital Melaka berazam untuk menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan dan kembali berkhidmat kepada negara. – UTUSAN










