Agong ada kuasa tubuh tribunal khas siasat dakwaan salah laku hakim

Agong ada kuasa tubuh tribunal khas siasat dakwaan salah laku hakim

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu terkandung dalam Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan dan hakim yang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ketua Hakim Negara.

 Beliau berkata, Perkara 125(3A) turut memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703].

 Katanya, Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim.

 “Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U. (B) 201/2009], yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang.

 “Kerangka etika ini bertujuan bagi memastikan badan kehakiman bebas daripada pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Azalina berkata, proses ini bermakna Badan Eksekutif dan Badan Legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu etika kehakiman.

 Jelasnya, kebebasan ini penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

 Berhubung dengan Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman oleh Badan Peguam Malaysia semalam, katanya, kerajaan mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan dan menegaskan komitmen untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab dan telus, berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

 Dalam hal ini, kata beliau, sebagai usaha meningkatkan ketelusan dalam prosedur pelantikan Hakim Mahkamah Atasan, pada minggu lalu kerajaan mengumumkan pelaksanaan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman.

 “Ia dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) secara bersama-sama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

 “Kajian ini untuk memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pada masa sama menangani sebahagian isu yang turut dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia,” katanya.

 Pada masa sama, jelas Azalina, kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput menyertai kajian ini, bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat.

 Selain itu, katanya, isu-isu yang dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

 “Justeru, kerajaan menyeru agar semua pihak untuk terus menghormati peranan dan proses perlembagaan yang menjadi teras kepada kebebasan badan kehakiman negara,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN